Assalamualaikum wbt
Pertama sekali,ayuhlah kita berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Baiklah.
Sudah lama saya tidak mengemas kini blog ini.
Namun,hari ini,saya begitu terpanggil untuk menulis mengenai guru.
Gurulah punca segala ilmu saya.
Punca kejayaan saya.
16 Mei telah pun berlalu pergi.Namun saya kira, tiada halangan untuk saya menulis berkenaan menghormati guru.Entah kenapa, hari ini saya terkenang akan guru-guru saya yang telah banyak mendidik saya.
Kamu tahu, kalaulah tiada guru yang mengajar saya 123, ABC, Alif Ba Ta, saya tidak akan berdiri di atas tempat saya berpijak hari ini.Begitu jugalah seorang Perdana Menteri, seorang pendakwah, seorang imam, seorang saintis, tidak akan mampu menjadi seperti apa yang mereka jadi, tanpa guru.
Hari ini, manusia memandang guru bagaimana?
Hari ini,kita sebagai remaja/pelajar memandang guru bagaimana?
Apakah masih ada rasa hormat kita pada mereka?
Kita hendakkan kejayaan,
kita hendakkan 9A,
tetapi kita masih lagi berlagak sombong dengan guru.
Memanggil guru dengan namanya.
Mengutuk guru di laman-laman sosial.
Tetapi,tidak sedarkah kita,segala ilmu diajarkan daripada seorang guru?
Saya membawa kepada anda dua peribadi sebagai contoh, menunjukkan betapa pentingnya kita menghormati guru.
Peribadi 1: Dia adalah Imam As-Syafi’e Rahimahullah. Seorang manusia yang agung di dalam sejarah manusia, seorang genius di zamannya. Tetapi lihatlah kerendahan hatinya bila bersama gurunya.
Imam Asy-Syafi’e pula ada berkata: “Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik dengan perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak mendengar(bunyi selakan itu, lantas menganggu pengajaran)”
Dia, Imam Asy-Syafi’e yang mengasaskan mazhabnya sendiri, juga menghormati guru.Malah, sehingga menjaga selakan kertasnya dari berbunyi
Bagaimanakah kita?
Peribadi 2: Sultan Muhammad Al-Fateh. Seorang manusia yang hebat dalam sejarah insan, seorang genius perang yang berjiwa gigih. Pada umur 23 tahun, dia telah berjaya menawan Konstantinopel yang kukuh.
Pada peperangan yang sengit itu, dia telah membawa gurunya bersama-sama untuk membimbingnya
Malah pada saat peperangan sedang getir dan kemuncak, dia merayu supaya gurunya mendoakannya. Sedangkan dia mempunyai ilmu perang yang hebat, ketenangan yang tinggi, peralatan yang cukup untuk merobohkan Konstantinopel
Namun dia masih merendah diri.
Seakan dia tidak tahu apa-apa.
Itu ketundukan seorang raja.
Kita?
Arahan daripada Allah dan Rasul untuk mencari ilmu
Allah SWT berfirman:
“Bertanyalah kamu kepada ahlu Dzikr, sekiranya kamu tidak mengetahui” Ayat ini terdapat dalam surah An-Nahl ayat 43 dan Al-Anbiya’ ayat 7.
Allah SWT tidak menyuruh kita duduk diam jika tidak mengetahui. Allah SWT mengarahkan kita pergi mencari.
Di sini letaknya ketinggian guru. Betapa guru itu merupakan pintu kepada ilmu.
Diriwayatkan dari Imam At-Tabrani dalam kitabnya Al-Kabir, Muawiyah RA telah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Wahai manusia, sesungguhnya ilmu itu hanya mampu diperolehi dengan belajar. Dan kefahaman itu akan didapati dengan memperdalaminya. Dan barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT, maka akan diberikannya kefahaman pada agama. Sesungguhnya yang takut kepada Allah adalah mereka yang berilmu” Riwayat Tabrani.
Maka adalah perlulah kita menundukkan diri kita menghormati guru yang telah berjaya mendidik kita. Sesungguhnya, tanpa jasa mereka berpenat lelah melayan kerenah kita, mendidik mengasuh ilmu di dalam pemikiran kita, maka sesungguhnya kita tidak punya apa-apa.
Saidina Umar Radhiallahu’anh pula ada berkata:
“Kematian seribu ahli ibadat yang beribadah sepanjang malam itu, adalah lebih ringan dari kematian seorang alim yang mahir akan ilmu halal haram dalam syariat Allah SWT”
Justeru, adalah perlu kita mengambil peluang, selagi mana wujud untuk meneguk ilmu daripada mereka yang mengetahui. Sesungguhnya, pada ilmu itu terdapat cahaya untuk membuka jiwa kita.
Ini adalah adab
Menghormati guru, orang yang berilmu adalah satu adab yang cantik dan perlu kita perhalusi. Adab inilah yang semakin lama sudah semakin luntur dalam masyarakat kita.
Tidak salah jika kita kamcing dengan guru sehingga tahap seperti kawan. Tetapi, adalah salah jika kita tidak beradab dan kurang ajar kepadanya.
Sesungguhnya, penyampaian ilmu itu ada hubung kaitnya dengan hati.
Guru yang mempunyai rasa tidak enak pada pelajarnya, akan menyebabkan pelajaran ilmu itu akan terganggu. Mungkin sahaja si pelajar berjaya meraih 9A dalam PMR, tetapi dia ada kemungkinan membawa ilmu yang tidak barakah. Pelabagai perkara boleh terjadi. Paling kurang, di akhirat nanti dia akan dipersoalkan oleh Allah SWT akan adabnya terhadap guru.
Guru juga adalah manusia. Mereka juga punya silap. Tetapi kita sebagai anak muridnya perlu berlapang dada. Menerimanya seadanya. Hal ini kerana, dia memberikan manfaat kepada kita dengan sabar memberikan ilmu.
Sejahat-jahat guru, selagi mana dia menumpahkan ilmu, maka adalah perlu untuk kita menghormatinya. Jika hendak menegur bukan tidak boleh, tetapi tetap perlu ada adabnya.
Setinggi mana pun kita capai pada usia dewasa kita, ingatlah betapa ada guru yang selama ini mendidik kita. Betapa genius pun akal kita, ingatlah ada guru yang membimbingnya.
Saya tidak nampak ruang dan sebab, untuk seorang murid mendabik dada kepada gurunya.Malah saya kira, kalau hubungan antara murid dan guru ini baik, maka akan terhasil satu sinergi yang cantik. Perkongsian ilmu yang lebih luas, dan kedahagaan kepada ilmu yang lebih tinggi.
Tiada ruginya menghormati guru. Yang merugi hanya yang tidak mengambil peluang bersama guru mereka.
Ilmu penting, maka guru pun penting
Kita sudah tahu betapa pentingnya ilmu. Malah, bagi sesiapa yang mencari ilmu, akan dipermudahkan jalannya ke syurga.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang merintis jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Tetapi di mana hendak mencari ilmu?
Pada guru
Kita boleh studi sendiri, tetapi dengan mempunyai guru, ilmu kita akan menjadi lebih cantik dan besih. Tambah cantik jika kita memperbanyakkan guru kita, agar pandangan kita menjadi luas dan mampu bersikap adil.
Oh diri saya dan pembaca, siapakah yang mendidik kalian untuk menulis dan membaca artikel ini?Sendirikah?
“Saya belajar membaca dengan ibu ayah saya, saya belajar menulis dengan ibu ayah saya”
Maka ibu ayah kamu itu juga adalah guru.
Hormatilah guru,
Mereka punca kejayaan kita.
Punca keberkatan ilmu kita.
Terima kasih Cikgu!,
Terima kasih Ustaz!,
Terima kasih Ustazah!,
Moga-moga Allah merahmati kalian!.

No comments:
Post a Comment